Artikel Januari 2012
Fenomena Astronomi Januari 2012
Si pemburu
Langit malam yang diciptakan Allah dihiasi dengan pelbagai objek samawi seperti Bulan, planet, bintang, buruj, nebula, galaksi dan pelbagai lagi. Objek-objek ini menjadikan langit malam indah untuk ditatapi. Keindahan langit malam yang kita lihat menjadi lebih bermakna sekiranya kita mengenali dan memahami objek-objek tersebut. Diantara objek yang menghiasi langit ialah buruj.Buruj adalah kumpulan bintang yang terletak di kawasan langit. Apabila dilihat di langit malam ia seolah-olah kelihatan seperti bentuk yang tertentu seperti manusia atau haiwan seperti kala jengking(Scorpio) atau singa(Leo). Terdapat sebanyak 88 kawasan buruj di langit menurut International Astronomical Union (IAU). Pada masa dahulu buruj-buruj ini menjadi panduan arah bagi pengembara atau pelayar yang meredah lautan yang luas.
Pada bulan ini, diantara buruj menarik yang menghiasi langit sepanjang bulan ini ialah Si Pemburu atau dikenali juga sebagai Belantik atau Orion. Buruj ini digambarkan sebagai simbol kekuatan dan kekuasaan. Dalam Greek purba buruj ini digambarkan sebagai seorang pemburu yang sedang memanah dengan 3 bintang berderet di tengah buruj ini sebagai tali pinggang si pemburu. Manakala China purba pula menamakan buruj ini sebagai ‘Raja bertiga’, kerana 3 bintang berderet dalam buruj ini dikelilingi lagi dengan 5 butir bintang lain.
Buruj ini sangat mudah mengenalinya, kerana dalam bulan ini ia akan berada di tengah langit dengan tiga bintang yang terang dalam kedudukan sebaris di dalam buruj tersebut.
Dalam bulan ini ia boleh dilihat di mana-mana bahagian Bumi kerana ia terletak di Khatulistiwa samawi. Bagi pencerap di hemisfera utara, mereka akan melihatnya di langit selatan manakala bagi pencerap di hemisfera selatan seperti di New Zealand atau Afrika Selatan akan dapat melihatnya di langit utara.
Buruj ini mengandungi tujuh bintang yang terang, dua darinya iaitu Rigel dan Betelgeux adalah antara bintang yang paling terang di langit. Perkataan Rigel berasal dari perkataan Arab ‘Rij Al-Jauzah’. Bintang Rigel lebih cerah dari Betelgeux dengan magnitud 0.1 dan berwarna biru keputihan. Bintang Betelgeux dengan magnitud 0.4 berwarna kuning bersaiz sangat besar. Diameternya lebih besar dari jarak Bumi ke Matahari. Ia dikelaskan sebagai bintang super raksaksa (supergiant star) Ia juga merupakan bintang berubah, ada ketikanya magnitudnya menyamai Rigel atau menjadi lebih malap.
Lima bintang lagi yang cerah ialah Bellatrix, Mintaka, Al-Nilam, Al-Nitak dan Saiph. Tiga darinya membentuk bintang berderet atau sebaris iaitu Alnilam, Alnitak dan Mintaka. Nama-nama ini berasal dari perkataan Arab, Mintaka bermaksud tali pinggang, Al-Nilam dengan maknanya sebagai mutiara dan Al-Nitak yang mempunyai makna serupa dengan Mintaka. Warna ketiga-tiga bintang ini adalah putih kebiruan. Al-Nilam dengan magnitud 1.7 adalah paling cerah diantara ketiga mereka. Al-Nitak dengan magnitud 1.8 mempunyai jarak 1600 tahun cahaya dari sistem suria kita. Di antara deretan ketiga-tiga bintang dengan bintang Rigel dalam buruj ini terdapat nebula yang dikenali sebagai ‘The Great Nebulae’, merupakan satu-satunya nebula yang boleh kelihatan dengan mata kasar dalam keadaan langit yang jernih iaitu tidak berawan atau mendung..
Berdekatan dengan buruj Orion di sebelah langit timur terdapat bintang yang paling terang di langit iaitu Sirius dengan 25 kali kecerahan mutlak (luminosity) dari Matahari. Bintang ini ada di sebut di dalam al-Quraan (surah An-Najm;49). Ia terletak di dalam buruj Canis Major. Buruj ini digambarkan seperti seekor anjing terletak bersebelahan dengan buruj Orion. Di hadapan buruj Orion terletak buruj Taurus. Aldebaran bintang merah yang besar dan paling terang di dalam buruj ini. Berdekatan dengannya terdapat sekumpulan bintang yang dikenali sebagai Plaeides atau bintang tujuh beradik kerana ia terdiri dari tujuh bintang. Jika langit cerah dan tidak berawan kumpulan bintang ini boleh dilihat dengan mata kasar dan kelihatan seperti satu kumpulan bintang kecil yang rapat.
Hal yang menarik menarik mengenai buruj Si Pemburu ini, tiga bintang sebaris yang terletak di pinggangnya menjadi panduan bagi orang Islam untuk menentukan arah kiblat. Bayangkan dengan menghubungkan bintang Mintaka, Al-Nilam dan Al-Nitak dengan satu garisan dan garisan ini menjadi panduan arah kiblat. Selain itu, Khatulistiwa samawi terletak hampir dengan bintang Mintaka. Jika pencerap yang berada di garis Khatulistiwa Bumi seperti di Pontianak, Kalimantan, akan mendapati bintang ini atau buruj ini akan berada tepat di titik atas kepala.
Rajah 1 : Buruj Pemburu atau Orion yang mengandungi tiga bintang di tengahnya dan apabila dihubungkan ketiga-tiganya, menunjukkan panduan arah kiblat
Rajah 2: Buruj Pemburu di langit malam yang cerah, boleh dilihat dengan mudah tujuh bintang yang terang dengan tiga bintang di tengah yang sebaris
Tiada ulasan:
Catat Ulasan